Sunday, 20 January 2013

Yang Diserang Raja Arif Bukan BTN Atau Kerajaan Malaysia


Mulut Tempayan mula tertarik dengan cerita BTN yang saban hari makin panas dan nampak mula tidak terkawal tetapi malangnya setelah pelbagai pendedahan telah dibuat tetapi tuan yang empunya badan masih mendiamkan diri.

Pelbagai pihak telah membuat andaian sehingga ada yang mengaitkan serangan tersebut dibuat kepada agensi dan Kerajaan BN dalam hal ini.

Sebenarnya apa yang berlaku jika dinilai bukanlah seperti itu, serangan demi serangan itu hanyalah ditujukan kepada Raja Arif sendiri yang didapati tidak telus dalam pemtadbiran BTN terutama perkara yang berkaitan wang.

Menurut seorang blogger yang menggelarkan dirinya Gempur 1Malaysia (klik sini), Raja Arif gagal menjawab serangan yang dibuat terhadapnya berkenaan beberapa perkara termasuk perkara yang berkaitan bantuan kewangan yang diberikannya kepada ABIM Sabah sebanyak RM 73 000 kepada sekolah rendah untuk membuat 5 program. 

Soalannya, apakah kaitan Raja Arif dengan ABIM? 

Betul juga kata mereka, ABIM sudah memang dikenali antara pertubuhan yang banyak melahirkan pemimipin yang menjadi pembangkang kepada kerajaan.

Jadi mengapa Raja Arif begitu berani mengeluarkan peruntukan yang begitu besar kepada mereka dan apakah motifnya.

Lagi pendedahan akan dibuat dan nantikan ceritanya....

Saturday, 19 January 2013

PAS Akan Keluar Pakatan Kerana Malu

Suka atau tidak, PAS perlu menerima hakikat kehadirannya dalam gabungan longgar pakatan pembangkang, PR tidak membawa sebarang kesan signifikan yang bermanfaat untuk kepentingan agama Islam dan umatnya di negara ini.

Dalam banyak keadaan, PAS lebih banyak beralah dan terpaksa menggadaikan prinsip perjuangannya sendiri semata-mata untuk menjaga hati rakan sepakatan. Di masa yang sama DAP dan PKR berterusan menuntut PAS berubah mengikut corak yang mereka tentukan.

Demikian halnya dalam isu tuntutan kalimah Allah s.w.t untuk diguna pakai dalam kitab Bible versi Bahasa melayu yang kembali dihangatkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semasa beliau menyampaikan perutusan Kristmas 2012 tempohari.

Gara-gara isu itu PAS bagaikan tersepit diantara keperluan menjaga kesucian agama Islam dengan tuntutan politik PR. Bagaikan lembu yang dicucuk hidung akhirnya PAS mengalah lagi dan menurut sahaja tuntutan itu untuk dijadikan dasar rasmi PR.

Berikutan desakan demi desakan bertali arus dari luar dan dalam parti, PAS kemudiannya cuba menunjukkan kejantanannya kepada DAP dan PKR dengan merubah semula keputusan dari setuju kepada sebaliknya.

Namun langkah PAS melalui Majlis Syura Ulamanya yang bersidang pada 13 Januari 2013 itu bagaimanapun dipandang sepi seolah-olah tiada nilainya di mata PR apabila Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menegaskan PR tetap berpegang pada keputusan 8 Januari 2013.

"Isu Allah telah selesai dan tidak pernah berubah. Baru-baru ini, Presiden Pas mengesahkan kedudukan Pas dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat pada 8 Jan, dan ia adalah sama seperti pada tahun 2010.

"Kami terikat dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat yang telah dibincangkan semasa mesyuarat. Dan kerana terikat kepada dasar-dasar itu, kami akan berpegang kepada keputusan itu. Majlis Syura (Pas) tidak berkaitan dengannya," tegas Azmin ketika sidang akhbar di ibu pejabat PKR pada 17 Januari lepas.

Maksudnya, apa sahaja keputusan Majlis Syura Ulama PAS, ia tidak mengubah pendirian PR yang telahpun dipersetujui oleh Presiden PAS pada 8 Januari 2013 untuk membenarkan orang bukan Islam khususnya penganut Kristian menggunapakai kalimah Allah s.w.t dalam kitab Bible.

Pendirian PR seperti yang ditegaskan oleh Azmin itu tentunya meletakkan PAS sekali lagi terumbang ambing dan serba salah, namun itulah akibat yang perlu diterima bila mana PAS selama ini terlampau mendahulukan kepentingan politik berbanding keutamaan pada agama.

Menyedari situasi semasa PAS dalam gabungan PR sudah sama seperti balaci dan pencacai yang sering diarah itu dan ini, muncullah suara-suara lantang di kalangan kepimpinan PAS menuntut parti itu mengambil keputusan tegas demi kepentingan agama dan maruah parti.

Golongan pendesak ini mahukan PAS segera keluar daripada gabungan liberal PR dan kembali bergerak sendirian kerana percaya itulah langkah terbaik untuk mengembalikan semula jatidiri PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

Mereka sudah selangkah di hadapan apabila desakan merubah keputusan dan pendirian PAS dalam isu kalimah Allah s.w.t sudah membuahkan sedikit hasil. Sekiranya desakan drastik yang diusulkan itu turut mendapat sokongan meluas, berkemungkinan PAS bakal mengumumkan langkah drastik keluar dari PR.

Namun demikian, selama mana golongan pendesak perubahan ini mampu bertahan sukar ditentukan memandangkan hampir di setiap peringkat kepimpinan PAS dari bawah ke atas sebahagian besarnya sudah dikuasai oleh pemimpin PAS yang berkiblatkan ideologi Anwarinas.

Friday, 18 January 2013

PR Kekal Benarkan Kalimah Allah Dalam ‘Bible’



Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali hari ini menegaskan polisi Pakatan Rakyat (PR) berhubung dengan isu kalimah Allah yang pernah disepakati pada 4 Januari 2010 masih kekal sampai sekarang walaupun Majlis Syura PAS pada 8 Januari 2013 memutuskan sebaliknya.  

Nampaknya, ‘bola’ kini di kaki Majlis Syura pula untuk bertindak balas.  Itupun jika berani dan jika ada sedikit kekuatan untuk mempertahankan nama Allah dari dipijak-pijak oleh puak penganut Kristian dan Plural.   

Penggunaan kalimah Allah oleh agama lain membawa kepada dua permasalahan besar iaitu kekeliruan di kalangan umat Islam sehingga membawa kepada murtad, dan juga syirik secara langsung iaitu ke atas nama Allah itu sendiri.  Kedua-dua masalah ini bolehlah disifatkan sebagai satu bencana besar kepada umat Islam.  

Oleh itu, tidak keterlaluan rasanya untuk menyarankan supaya mana-mana umat Islam yang tidak merasa gusar atau terganggu dengan kedua-dua permasalahan ini, agar menyemak kembali imannya.  

Pendirian yang diambil oleh Pakatan Rakyat seperti yang diumumkan oleh Azmin boleh ditafsirkan seperti berikut:    

1.       Terbukti bahawa Majlis Syura PAS tidak ada nilai di dalam Pakatan Rakyat

2.       Sah bahawa PKR membawa fahaman plural 

3.       Puak Kristian dengan sengaja mencabar Islam

4.       Kuasa tertinggi Pakatan Rakyat adalah DAP

Alasan PR bahwa keputusan Majlis Syura hanya terpakai untuk ahli-ahli PAS dilihat sebagai ejekan kepada semua umat Islam kerana ia adalah tidak relevan sama sekali.  

Ini kerana yang ingin menggunakan Kalimah Allah dalam Bible bukan ahli PAS tetapi puak Kristian yang dijuarai oleh DAP.  Justeru, apa ke jadahnya jika halangan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura itu ditujukan kepada ahli PAS?  

Nampaknya, apa yang kita khuatiri selama ini telah pun menjadi nyata iaitu keghairahan PAS berpolitik dan kerakusan mereka mengejar Putrajaya akhirnya membawa kepada tragedi ini.  Apabila PAS mendabik dada sebagai Islam maka tindakan dan kenyataan PAS dikaitkan dengan Islam.  Oleh itu apabila PAS mengambil sikap flip-flop, sentiasa mengalah dan sering U-turn, maka PAS sebenarnya menunjukkan kelemahan mereka, tetapi dilihat sebagai kelemahan Islam.  

Akibatnya, Islam dilihat sebagai lemah sehingga musuh Islam tidak memandang sebelah mata pun kepada PAS dan seluruh umat Islam.  

Dari apa yang berlaku ini, tidakkah kita melihat bahawa orang yang disanjung sebagai Ulama besar, Mursyid, Tok Guru, Tuan Guru, yang kononnya berada di dalam darjat yang tersendiri di sisi Allah SWT., yang maksum, alim lagi keramat, sebenarnya langsung tidak punya harga, tidak ada nilai walau satu sen pun, di mata orang-orang kafir.  Tiada rasa gerun atau hormat orang lain terhadap mereka sepertimana yang dijanjikan Allah SWT kepada kekasih-kekasihnya, iaitu para Ulama sebenar.   Sebaliknya orang-orang kafir menggelengkan kepala melihat kebodohan mereka.  

Maka, masihkah kita tidak mengaku bahawa mereka ini semua telah berbuat kesilapan besar, dan bahawa kita yang menyanjung mereka juga telah membuat kesilapan besar?  Telah dikatakan bahawa akan datang di akhir zaman Ulama-ulama jahat – tidakkah kita percaya pada ayat AlQuran ini?    

Masih belum terlambat untuk umat Islam bangkit dan membangun semula kekuatan.   Namun, ini hanya boleh dilakukan dengan bersatu.   Walaupun kita masih dinaungi kerajaan Islam, namun sedarlah bahawa kekuatan kerajaan Islam itu juga bergantung kepada umat Islam yang bersatu dibelakangnya.  Sukar bagi sebuah kerajaan Islam untuk mempertahankan Islam tanpa sokongan umat secara bersepadu.  

Hentikanlah menipu diri sendiri mengenai hudud atau Negara Islam sebagai alasan menolak kepimpinan Islam. Hentikanlah membiarkan minda kita dimanipulasi oleh Ulama-ulama jahat itu tadi.  

Insaflah bahawa akibat terlalu mengejar bintang di langit, bumi dipijak menjadi padang jarak padang tekukur.  Sedangkan yang berkelip bukannya bintang rupanya kelip-kelip yang berterbangan.   Sebelum kita membetulkan undang-undang negara, betulkanlah diri sendiri terlebih dahulu.  

Jika tidak, inilah akibatnya, di mana iman sendiri bercelaru, sehingga lebih percaya kepada Tok Guru daripada ayat-ayat Allah SWT. sendiri.  Percaya yang sesama Islam itu kafir, walaupun Allah SWT. menegaskan bahawa kita semua bersaudara.   Malah, ada yang sibuk mengejar hudud tetapi akhirnya bersolat juga caca marba seperti yang berlaku dalam Himpunan HKR #112 baru-baru ini di mana kiblat berlainan arah dan makmum selesai lebih awal dari imam.  

Semoga Allah SWT selamatkan kita dari kesesatan dan perpecahan yang berterusan.  Amin.